PADANG BESAR 2 April – Jenazah tiga beranak yang maut dalam kebakaran di rumah persinggahan mereka berhampiran Jeti Nelayan Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi, Kedah semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Chuping di sini malam ini.
Jenazah Mohd. Nahar Shuhaimi, 39; Noorsuhaila Hamat, 41, dan Muhammad Nawfal, 6, selamat dikebumikan kira-kira pukul 10 malam, dalam keadaan hujan renyai-renyai.
Hadir sama anak-anak pasangan tersebut, ahli keluarga terdekat dan penduduk setempat.
Suasana suram menyelubungi tanah perkuburan tersebut apabila keempat-empat anak pasangan berkenaan iaitu Nursyafanis, 20; Nursyafinas dan kembarnya, Nursyafina, yang masing-masing berusia 18 tahun serta Nursaleha, 11, dilihat menangis di pusara kedua-dua ibu bapa dan adik bongsu kesayangan mereka itu.
Terdahulu, jenazah tiga sekeluarga tersebut disembahyangkan di Masjid Felda Chuping kira-kira pukul 8.30 malam.
Abang kepada arwah Noorsuhaila yang hanya dikenali sebagai Khairul berkata, dia bersyukur setelah segala urusan pengebumian tersebut selesai dan reda dengan pemergian ahli keluarganya itu.

Dalam masa sama katanya, dia menyerahkan kepada keempat-empat anak saudaranya itu untuk membuat keputusan untuk tinggal dengan siapa selepas ini.
“Pada masa ini, mereka (anak-anak arwah) akan tinggal dengan datuk mereka di sini. Anak-anak saudaranya itu dilihat sudah boleh menerima kenyataan kehilangan ibu bapa mereka meskipun kadang-kala dilihat menangis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi semalam, tiga beranak itu ditemukan meninggal dunia di dalam rumah persinggahan mereka berhampiran Jeti Nelayan Sungai Tepa, dekat sini.
Mohd. Nahar yang juga pemilik bot nelayan ditemukan rentung hampir 100 peratus di ruang tamu kediaman itu, manakala isteri dan anaknya meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap tebal di bilik air. – UTUSAN ONLINE











