[VIDEO] Thi Huong kena jel tiga tahun 4 bulan cederakan Jong-nam - Utusan Malaysia

[VIDEO] Thi Huong kena jel tiga tahun 4 bulan cederakan Jong-nam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menjatuhkan hukuman tiga tahun empat bulan terhadap wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 30, atas pertuduhan alternatif menyebabkan kecederaan menggunakan bahan merbahaya, ke atas abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azmi Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Thi Huong selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya hari ini.

Sepatutnya prosiding hari ini adalah bicara bela diri wanita itu namun pendakwaan telah menawarkan pertuduhan alternatif kepadanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Februari 2017 selain barang-barang milik tertuduh yang dirampas sebelum ini iaitu pasport dan buah telefon bimbit dipulangkan.  Tertuduh menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan alternatif, tertuduh  bersama empat lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang merbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu cecair racun VX.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 9 pagi pada 13 Februari 2017.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana jika sabit kesalahan.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Hakim Azmi dalam penghakimannya berkata tertuduh sangat bertuah apabila ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 324 apabila tertuduh sebelum ini berhadapan dengan Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding,  selesai hukuman dijatuhkan Thi Houng yang memakai skaf, dilihat beberapa kali tunduk pada Hakim Azmi selain turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengendalikan kes tersebut.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, pihak mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya dan peguam serta Kedutaan Vietnam sepanjang kes ini berjalan. Tidak lupa juga kepada pihak media yang membuat liputan sepanjang kes ini berlangsung,” katanya.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 11 Mac lalu, lalu, mahkamah sama melepas Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Jong-nam.

Hakim Azmi ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah ber­puas hati dengan kes prima facie terhadap Siti Aisyah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain pihak pendakwaan berhasrat untuk menarik balik pertuduhan terhadap Siti Aisyah.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah meme­rintahkan Siti Aisyah dan Thi Huong membela diri atas pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini