[VIDEO] KPNDNHEP rampas 1,317 jam tiruan, dua ditahan - Utusan Malaysia

[VIDEO] KPNDNHEP rampas 1,317 jam tiruan, dua ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 April- Meskipun selepas dua kali diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) namun seorang peniaga di sebuah pusat beli-belah di Lorong Haji Taib, Jalan Raja Laut di sini tetap berdegil menjual jam berjenama tiruan.

Akibatnya, premis sama sekali lagi diserbu KPDNHEP WPKL semalam serta sebanyak 1,317 pelbagai jenama tiruan dirampas dengan nilai dianggarkan kira-kira RM19,755.

Lebih mengejutkan, pemilik premis berusia lingkungan 40-an itu sedang menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala satu lagi kes telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah KPDNHEP WPKL, Ummi Nasrah Othman berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.50 petang oleh lapan pegawai serta wakil daripada pemilik cap dagang berdaftar.

Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat dua individu yang merupakan pemilik dan pekerja premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu pernah diserbu sebanyak dua kali iaitu pada 2016 dan 2018.

“Hasil siasatan juga mendapati jam-jam tiruan yang diimport dari negara luar itu dijual antara RM20 hingga RM50 bagi setiap unit,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KPNDNHEP WPKL di Menara Sunway Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Ummu Nasrah, pemilik premis serta pekerja wanita berusia lingkungan 20-an itu telah ditahan serta direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga lusa dan kes disiasat Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

“Selain itu, sebanyak 27 serbuan dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM1.52 juta telah dijalankan dari awal tahun hingga April ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini