SERDANG – Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan bangunan pejabat Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) daripada musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Seri Kembangan di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan tentang kebakaran tersebut kira-kira pukul 6.50 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Cyberjaya, BBP Bangi dan BBP Kajang telah dikerahkan ke lokasi sejurus panggilan diterima.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati kebakaran melibatkan bangunan pejabat dua tingkat Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI yang mengandungi ruangan pejabat dan makmal penyelidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Norazam, kebakaran berjaya di kawal oleh anggota bertugas daripada merebak ke bahagian makmal yang mengandungi pelbagai bahan kimia untuk tujuan penyelidikan.
“Anggaran keluasan kebakaran adalah 432 meter persegi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” jelas beliau. – K! ONLINE











