SHANGHAI 14 April – Sebastian Vettel menaiki podium pertamanya pada 2019, namun kejayaan itu tidak begitu diraikan oleh pemandu Jerman itu yang mengakui dia tidak gembira sepenuhnya dengan Ferrari, selain merasa jengkel dengan soalan mengenai arahan pasukan.
Juara dunia empat kali itu menduduki tangga ketiga di belakang dua pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas dalam Grand Prix China, iaitu perlumbaan Formula Satu (F1) ke-1,000.
Vettel, 31, dipintas oleh pemandu muda Ferrari, Charles Leclerc di awal perlumbaan, namun pasukan kemudian mengarahkan pelumba Monaco berusia 21 tahun itu supaya memberi laluan kepada Vettel untuk memintas.
Berita berkaitan:
Bos Ferrari, Mattia Binotto kemudian berkata, Vettel adalah keutamaan pasukan dan perkara itu tidak akan berubah.
Leclerc yang hampir memenangi perlumbaan pertama di Bahrain, bulan lalu sebelum dikecewakan oleh masalah enjin kereta mengakui tidak gembira dengan arahan yang dikeluarkan oleh pasukan.
“Bagaimanapun saya terpaksa menerimanya dan fokus kepada perlumbaan sendiri,” katanya, yang menamatkan saingan di tangga kelima.
Vettel bagaimanapun berang apabila perkara tersebut dibangkitkan oleh wartawan dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang menjengkelkan.
“Ia sangat sukar apabila memikirkan tentang jawapan yang perlu anda berikan.
“Ia amat menyakitkan apabila terpaksa menjawab soalan yang sama berulang kali. Sesiapa pun tidak seronok berada dalam situasi ini,” katanya kepada wartawan, sambil menyelar tindakan mereka mempersoalkan siapa sebenarnya pemandu No. 1 Ferrari. – AFP











