MANCHESTER 11 April – Tugas berat menanti Manchester United apabila bertandang ke Camp Nou, Selasa depan selepas tumpas 0-1 kepada Barcelona dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini.
Jaringan sendiri bek kiri United, Luke Shaw membolehkan pendahulu La Liga, Barcelona pulang bersama kelebihan yang dicari.
Gol pada minit ke-12 itu hadir selepas tandukan Luis Suarez terkena Shaw sebelum menewaskan penjaga gol, David de Gea.
Aksi di Old Trafford juga berlangsung hambar apabila United gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan, malah tidak banyak mengancam Barca.
Biarpun berada pada landasan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, namun Barcelona perlu berhati-hati dengan rekod kebangkitan hebat yang dimiliki United.
Pada perlawanan pertama pusingan 16 akhir 13 Februari lalu, anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer tumpas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) di Old Trafford.
Mereka bagaimanapun tampil dengan keyakinan tinggi apabila bertandang ke Paris dalam aksi timbal balik pada 7 Mac selepas menang 3-1.
Dalam aksi hari ini, tidak banyak percubaan menarik dilakukan kedua-dua pasukan manakala Suarez masih gagal mencetak gol di tempat lawan dalam saingan Eropah. – AGENSI









