MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui skuadnya gagal memulakan aksi dengan baik walaupun mereka meraih kemenangan 2-1 pada aksi Liga Perdana England menentang Watford kelmarin.
Justeru, bekas legenda United tersebut meluahkan sedikit rasa kecewa memandangkan ia adalah perlawanan pertamanya sebagai pengurus tetap di Old Trafford.
“Pada 20 minit pertama, kami memulakan aksi dengan perlahan serta tidak fokus. Ini mungkin disebabkan ada dalam kalangan pemain masih dirundung kecederaan selepas pulang daripada aksi antarabangsa.
“Malah, kami juga tidak boleh menjalani latihan yang terlalu keras kerana masa yang singkat. Ini adalah perlawanan pertama United selepas aksi antarabangsa yang mana ia turut menyumbang risiko kecederaan kepada pemain tonggak.
“Kami berdepan Watford yang lebih cergas dan bertenaga kerana tidak ramai pemain mereka yang mewakili negara masing-masing minggu lalu. Jadi, saya fikir keputusan 2-1 itu adalah adil,” katanya.
Perlawanan di Old Trafford berkenaan menyaksikan penyerang, Marcus Rashford berjaya meledakkan gol pembukaan seawal minit ke-28 sebelum Anthony Martial menggandakan kedudukan pada minit ke-72.
Watford meraih gol sagu hati menerusi percubaan pemain tengah, Abdoulaye Doucoure pada waktu kecederaan.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Norway itu mengesahkan bahawa Martial berdepan kecederaan kaki. – Agensi











