Undang-undang Tubuh kerajaan Johor tidak terbatal - DMJ - Utusan Malaysia

Undang-undang Tubuh kerajaan Johor tidak terbatal – DMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 April – Dewan Muda Johor (DMJ) merujuk kepada kenyataan Tun Dr. Mahathir di Malaysiakini hari ini yang bertajuk “Dr M: Perlembagaan Johor, T’ganu ‘terbatal’ bila Malaya dibentuk”.

DMJ ingin menyatakan kekesalan di atas kenyataan Tun Dr. Mahathir tersebut. Sebagai seorang Perdana Menteri dan negarawan, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan tersebut kepada umum.

 DMJ ingin merujuk kepada Artikel 4 (1) Perlembagaan Persekutuaan yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuaan adalah undang-undang tertinggi di dalam negara dan mana-mana undang yang bertentangan dengan Perlembagan Persekutuan adalah tidak sah dan terbatal.

Memuatkan artikel berkaitan…

 Selain itu, DMJ juga ingin merujuk Artikel 71 (1) Perlembagaan Persekutuaan yang menyatakan jaminan Persekutuan ke atas Perlembagaan Negeri terutamanya hak-hak dan keistimewaan raja-raja. Selain itu, Artikel 181 (1) menyatakan kedaulatan , perogatif dan kuasa raja-raja dibawah Perlembagaan Negeri tidak akan terjejas walaupun selepas adanya Perlembagaan Persekutuan.

DMJ yakin dan percaya bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana UUTKJ adalah undang-undang yang melengkapi Perlembagaan Persekutuan kerana kebanyakan isu-isu berkaitan dengan negeri seperti kuasa-kuasa Sultan, Dewan Undangan Negeri (DUN), pelantikan Menteri Besar dan exco negeri tidak diterangkan atau tidak diterangkan secara terperinci di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, jika pun benar ada peruntukan yang dipertikaikan keabsahannya (sekiranya ada), ianya perlulah dibawah ke Mahkamah untuk semakan kehakiman (‘judicial review’) ke atas peruntukan yang dipertikai tersebut, dan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan bukan dibuat secara semberono dan membuta tuli mengatakan keseluruhan UUTKJ ini terbatal.

DMJ percaya isu ini adalah rentetan daripada ‘perang dingin’ antara Istana Johor dan Tun Dr. Mahathir dalam isu pelantikan Menteri Besar Johor baru-baru ini, isu Statut Rom dan beberapa isu lain.

DMJ mengambil ketetapan bahawa Tun Dr. Mahathir seharusnya mendapatkan nasihat daripada peguam negara, sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan undang-undang, agar kenyataan tersebut tidak mengelirukan rakyat Malaysia, dan jauh sekali untuk menimbulkan sikap tidak percaya rakyat kepada undang-undang tubuh negeri.

Akhirnya, DMJ berharap ‘peperangan’ antara Tun Dr. Mahathir dan Istana Johor dapat dihentikan dan kedua-dua pihak dapat mengambil satu ‘tempoh bertenang’. Pertelingkahan antara kedua-dua institusi utama ini iaitu Institusi Diraja dan Eksekutif tidak seharusnya berlaku dan perlu dielakkan demi kemaslahatan Negeri Johor dan Malaysia.

Kepada Allah Kita Berserah.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi pihak yang membuat kenyataan dan tidak mewakili pendirian Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini