UMNO Selangor serah memorandum bantahan Statut Rom kepada Sultan Selangor - Utusan Malaysia

UMNO Selangor serah memorandum bantahan Statut Rom kepada Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – UMNO Selangor akan menyerahkan satu memorandum bantahan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membuat keputusan tanpa merujuk Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, menerusi pelembagaan jelas menunjukkan apabila kesalahan dilakukan oleh Raja-Raja Melayu ada memperuntukkan Mahkamah Khas untuk membicarakan sekiranya ada kes melibatkan Raja-Raja Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi apabila menandatangani Statut Rom ini, Mahkamah Khas pun tidak diperlukan dengan Raja-Raja Melayu terutamanya Yang di-Pertuan Agong boleh dihadapkan terus ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Ini jelas mencabuli kedaulatan kerana campur tangan daripada negara asing di dalam negara kita terutamanya melibatkan kepentingan Raja-Raja Melayu,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut adalah semua Ketua UMNO Bahagian di Selangor termasuk Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ismail Sabri yang merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen menegaskan, tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana jelas dalam Perkara 38 (4) iaitu memperuntukkan sebarang perkara yang menyentuh berkenaan kuasa sultan harus dibawa dan diperkenan oleh Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

“Perkara ini memberi kesan yang amat besar ke atas Raja-Raja Melayu terutamanya Yang di-Pertuan Agong. Mengapa sebelum ditandatangani, ia tidak dibincangkan?

“Yang menjadi persoalan kenapa terburu-buru, negara jiran lain tidak tandatangan pun kecuali Kemboja, negara kuasa besar seperti Rusia dan Amerika juga tidak tandatangan. Apa lebihnya jika kita tandatangan dan apa ruginya kita selama ini,” soalnya.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC pada 4 Mac lalu dan berkuat kuasa serta terpakai sepenuhnya ke atas Malaysia bermula 1 Jun depan.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini turut mempersoalkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rom ICC.

Jelas Tunku Ismail, penyertaan itu dikhuatiri menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi di negara ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini