JOHOR BAHRU 30 April – Kerajaan tidak perlu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang sama sekali tidak mempunyai unsur dan nilai pendidikan kebangsaan.
Naib Presiden UNMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana UEC dilaksakan bukan dalam bahasa kebangsaan selain tidak sesuai dalam konteks dan falsafah pendidikan di Malaysia.
“Ia dilaksanakan dan dikawal selia oleh pergerakan bukan kerajaan yang berpandukan sistem nilai, falsafah dan hala tuju negara luar. Segala-galanya sangat asing dengan cerita Malaysia sebagai sebuah negara dan sebuah bangsa.
“Bukankah akan tercalar wibawa kerajaan jika ia sendiri berkompromi dalam mendukung sistem yang dibangunkan dan dimajukan bukan demi kepentingan Malaysia secara keseluruhan?
“Malah pengiktirafan UEC akan menjadi satu mesej moral yang sangat songsang kepada masyarakat. Tindakan sedemikian bersalahan dan bercanggah dengan usaha mewujudkan kesepakatan dan perpaduan yang dipasak dengan falsafah pendidikan yang satu,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Beliau berkata, UEC bukan isu baharu kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah berbincang mengenai pengiktirafannya dan UMNO mempunyai pendiriannya sendiri untuk tidak membenarkan perkara itu berlaku.
Jelasnya, UMNO tidak mengiktiraf UEC bukan kerana sukatan pelajaran atau kualiti graduannya tidak baik sebaliknya mahu mendukung dan memelihara keutuhan sistem pendidikan nasional.
“Pendidikan adalah perkara yang sangat penting dalam pembentukan sebuah negara. Kerajaan BN sebelum ini berpendirian bahawa Malaysia mesti mempunyai hanya satu sistem pendidikan nasional yang menjadi asas kepada semua.
“Dengan mengiktiraf UEC, ia adalah langkah yang akan secara beransur-ansur membawa kepada a dual education system dan ini bukanlah sesuatu yang sihat dalam menyuburkan integrasi nasional,” katanya.
Namun demikian katanya, dalam BN setiap sesuatu pasti ada kompromi dan apabila UEC tidak diiktiraf, kerajaan BN memberikan timbal balik dalam bentuk lain, malah dengan cara yang lebih besar dan penting.
Antaranya ialah memberikan taraf universiti penuh kepada Kolej Tunku Abdul Rahman dan membenarkan penubuhan beberapa Universiti yang didukung masyarakat Cina termasuk Universiti Wawasan, Southern University Collage dan University College New Era.
Kerajaan BN juga katanya, terus membantu sekolah Cina dengan memberikan peruntukan demi peruntukan yang semakin bertambah saban tahun.
“Kalau dalam konteks semasa, sekolah persendirian Cina juga nampaknya sudah menerima bantuan dan peruntukan dana daripada Kerajaan.
“Semua ini menggambarkan betapa dinamiknya politik muafakat atau politics of consensus antara parti-parti komponen BN. Walaupun ada kalanya konsesi yang diberikan itu tidak sama bentuk dan nilainya dengan pengiktirafan UEC,” katanya. – UTUSAN ONLINE











