Tabiat membawa ubat-ubatan atau vitamin dalam beg tangan memang memudahkan, tetapi bagi Khairul Anuar dan isteri, tabiat itu hampir meragut nyawa anak mereka.
Kejadian dua tahun lalu menjadi iktibar bagi Khairul Anuar, 47, dan Noraini Mazlan, 42, supaya tidak mengambil mudah soal penyimpanan ubat.
Mengimbau kembali, kejadian itu berlaku ketika dia dan isterinya yang hamil lima bulan sedang berehat di ruang tamu selepas pulang dari kerja.
“Semasa hendak ke tandas, saya terkejut melihat anak sedang mengunyah sesuatu dan terdapat sisa serbuk berwarna putih sekitar mulutnya. Rasanya dia sudah makan beberapa biji vitamin emaknya.
“Saya langsung tidak sedar bila masa anak buka beg tangan emaknya dan ambil vitamin itu. Memang dalam beg isteri ada vitamin untuk ibu mengandung. Saya masih ingat isteri letak beg tangannya di atas meja,”katanya.
SANGKA GULA-GULA
Panik dengan keadaan itu, pasangan berkenaan bergegas membawa anak mereka ke klinik berdekatan walaupun ketika itu anak mereka langsung tidak menunjukkan sebarang komplikasi seperti muntah atau pening kepala.
“Mujur tidak berlaku apa-apa. Rupa-rupanya selama ini, anak saya sering memerhati dan menyangka ibunya mengambil ‘gula-gula’ dari dalam beg itu,” kata Khairul Anuar yang kini menyimpan semua jenis ubat-ubatan di tempat lebih tinggi dan selamat.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Dr. Ramli Zainal berkata, tindakan Khairul dan isterinya adalah tepat dan wajar biarpun anaknya tidak menunjukkan sebarang komplikasi ketika itu.
Menurutnya, penting bagi setiap ibu bapa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berdekatan dengan kadar segera sebaik sahaja menyedari anak mereka mengambil ubat orang dewasa.
“Terdapat beberapa vitamin yang diberikan kepada wanita mengandung iaitu asid folik, zat besi dan vitamin B kompleks. Ubat ini diberikan secara berasingan atau secara kombinasi.
“Secara umum, pengambilan vitamin dalam dos berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah atau pening kepala. Pengambilan zat besi berlebihan pula boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit atau lebih serius najis berdarah atau kerosakan hati,” katanya.
Dr. Ramli berkata, tinjauan turun padang ke rumah pesakit menerusi program Duta Prihatin Masyarakat (DPM) mendapati aspek penyimpanan ubat yang betul kurang dititikberatkan sekali gus mengundang bahaya kepada kanak-kanak.
Walhal jelas tertera ‘Jauhi daripada kanak-kanak’ pada label atau sisip bungkusan ubat, namun agak menyedihkan kerana masih ada segelintir masyarakat meletakkan ubat-ubatan di atas meja makan yang mudah dicapai anak-anak kecil.
Perlu diingat, ubat dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan warna pastinya menarik perhatian kanak-kanak untuk makan atau minum ubat tersebut tanpa mengetahui bahawa ia sebenarnya berbahaya kepada mereka.
“Kes kemalangan termakan ubat orang dewasa dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya dapat dielakkan jika ubat-ubatan disimpan di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak misalnya dalam kabinet yang lebih tinggi.
“Tetapi, ramai ambil ringan mengenai cara penyimpanan ubat yang betul dan simpan ikut suka hati sedangkan ubat adalah bahan yang digunakan untuk mencegah, mengawal atau merawat penyakit yang perlu diambil pada dos yang disyorkan,” kata Dr. Ramli.
Oleh itu, sangat penting untuk menyimpan ubat di tempat selamat dan ia merupakan tanggungjawab pesakit atau penjaga.
Kebimbangan dalam isu penyimpanan ubat adalah berasas kerana ia bukan sahaja berkaitan keselamatan kanak-kanak, bahkan pesakit itu sendiri.
“Selain kabinet yang tinggi, ubat sebaiknya disimpan di dalam bekas yang bertutup dan mudah dilihat. Ia juga perlu teratur dan dilabel untuk memudahkan pencarian ubat khususnya apabila berlaku kecemasan.
“Ramai tidak menyedari kegagalan menyimpan ubat sepertimana yang disarankan sebenarnya berisiko menjejaskan kualiti ubat sekali gus mengurangkan keberkesanan rawatan,” katanya.
Paling ditakuti tambah Dr. Ramli adalah apabila pesakit tidak menyedari ubat tersebut rosak dan kemungkinan besar terdedah kepada kesan sampingan.
Ini kerana, setiap ubat mempunyai cara dan suhu penyimpanan yang berbeza. Ada ubat yang perlu disimpan pada suhu bilik dan ada juga yang perlu disimpan dalam peti sejuk mengikut arahan yang tertera jelas pada label ubat.
“Kebiasaannya, ramai yang gemar menyimpan ubat dalam peti sejuk, kereta, tandas mahupun dapur dengan alasan ubat boleh tahan lama dan mudah dicari.
“Ia salah sama sekali. Jika ubat biji disimpan di dalam peti sejuk ia boleh menjadi lembap, mudah hancur dan rosak.
“Hanya ubat dengan arahan penyimpanan pada suhu dua hingga lapan darjah Celsius boleh disimpan dalam peti sejuk. Maklumat ini akan diterangkan oleh pegawai farmasi dan tertulis dengan jelas pada sisip bungkusan ubat,” katanya.
Amalan menyimpan ubat sedut (inhaler) atau ubat serangan jantung dalam kereta agar mudah diambil semasa kecemasan pula sebenarnya boleh merosakkan ubat berkenaan kerana suhu kenderaan di bawah sinaran cahaya matahari boleh mencecah hampir 50 darjah Celsius.
Begitu juga penyimpanan ubat di atas peti sejuk, dapur dan ketuhar berisiko merosakkan ubat kerana terdedah kepada haba dan suhu yang tinggi. – BERNAMA











