JOHOR BAHRU 29 April – Putera ketiga Sultan Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim membuat kejutan hari ini apabila menggambarkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tunku Temenggong Johor yang berusia 31 tahun itu menyatakan demikian dalam kiriman Instagram Story terbaharunya.
Menerusi kiriman tersebut, Tunku Idris Iskandar memuat naik pilihan untuk bertanding dalam PRU-15 di kerusi Parlimen Muar atau Mersing dengan keterangan “I am running #PRU15” (saya bertanding PRU15).
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada beliau benar-benar bermaksud demikian atau sekadar berjenaka mengenai hasratnya itu.
Selepas itu Tunku Idris memuat naik gambarnya memakai pakaian rasmi diraja berwarna putih tanpa keterangan berkenaan PRU ke-15.
Kerusi Parlimen Muar disandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merangkap Menteri Belia dan Sukan manakala kerusi Parlimen Mersing disandang Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang sebelum ini mengumumkan keluar daripada UMNO.
Kiriman Tunku Idris itu dilihat mempunyai kaitan selepas Syed Saddiq mempertikaikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam mempertahankan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE











