KOTA BHARU 19 April – Kelantan perlu kembali kepada rentak agresif dan menyerang sekiranya mahu melakar keputusan positif pada aksi Liga Perdana menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
Pengendali baharu The Red Warrios (TRW) Yusri Che Lah berkata, rentak tersebut perlu diperaktikkan semula kerana ia mampu mengelakkan pasukan terus keciciran mata pada perlawanan itu nanti.
“Ini adalah corak yang saya terapkan ketika mengendalikan TRW pada musim lalu. Jadi saya menuntut kembali corak tersebut demi pasukan.
“Jika mereka beri segalanya untuk Insya-Allah mereka sukar untuk dikalahkan di laman sendiri,” katanya.
Yusri memberitahu, TRW tidak boleh terus terus keciciran mata walaupun masih mempunyai baki 12 perlawanan selepas ini.
Katanya, meskipun tempang berdepan Negeri Sembilan selepas kehilangan tiga tonggak utama akibat penggantungan dan kecederaan ia bukan satu alasan.
Ujarnya dua tonggak yang digantung ialah perancangan tengah Nik Akif Shahiran Nik Mat, dan Mohammad Azwan Aripin, manakala Nik Azli Nik Alias mengalami kecederaan.
“Sungguhpun perit, saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











