REMBAU 10 April – Datuk Seri Mohamad Hasan akan menemui seramai mungkin pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) itu yang berbaki kira-kira tiga hari.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK itu berkata, tumpuannya tidak terjejas meskipun diasak dengan serangan peribadi oleh pihak lawan termasuk menggunakan taktik membuat laporan polis terhadapnya.
Bekas Menteri Besar itu berkata, beliau tidak akan menggunakan taktik yang sama tetapi hanya bercakap mengenai dasar yang tidak membawa manfaat kepada rakyat dan pentadbiran kerajaan semasa yang tidak cekap.
“Itu (serangan perbadi) sudah menjadi amalan PKR untuk membuat pelbagai fitnah supaya saya terganggu dan hilang tumpuan.
“Banyak (tuduhan) akan keluar tetapi semua itu peluru kapur sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.
Beliau diminta mengulas nasihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beliau berwaspada dengan sembilan isu yang akan digunakan Pakatan Harapan (PH) bagi menyerangnya sepanjang kempen PRK berkenaan.
Bekas Presiden UMNO itu dalam program Bossku Bersama Rakyat di sini semalam mendedahkan, beliau mendapat maklumat bahawa pihak lawan akan menggunakan taktik tersebut terhadap Mohamad.
Mohamad berkata, beliau sedia menghadapi serangan peribadi itu kerana yakin tidak terlibat dalam salah laku sepanjang menerajui negeri ini selama 14 tahun.
“Nurani saya adalah jelas. Saya hanya melaksanakan tindakan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









