Tiga wanita Indonesia dakwa dipukul, tidak dibayar gaji - Utusan Malaysia

Tiga wanita Indonesia dakwa dipukul, tidak dibayar gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Tiga wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi ejen pekerja warga asing di sini bertindak melarikan diri sebelum mendapatkan perlindungan di Konsulat Indonesia di Pulau Pinang pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa yang berusia antara 36 hingga 48 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Padang Serai di sini pada pukul 5.50 petang Isnin lalu.

“Mereka melarikan diri dari rumah ejen pekerja asing pada 23 Mac lalu selepas dikatakan tidak tahan akibat sering dipukul oleh ejen serta tidak dibayar gaji sepanjang bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, siasatan yang dilakukan mendapati tiga mangsa terbabit datang ke Malaysia sejak Mei hingga Disember tahun lalu dan bekerja sebagai pembantu rumah.

“Tiga wanita Indonesia itu dihantar ke rumah majikan, bagaimanapun mereka dikembalikan kepada ejen selepas majikan membuat aduan.

“Mangsa-mangsa mengadu dipukul dan dimarahi oleh ejen kerana tidak pandai menjalankan kerja-kerja membersihkan rumah dan selalu bertukar majikan,” ujarnya.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati mereka telah dieksploitasi oleh ejen pekerja asing atas kesalahan memperdagangkan orang.

“Susulan laporan polis itu, kita telah menahan seorang lelaki berusia 59 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan (ATIPSOM) 2007,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini