LANGKAWI 1 April – Tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak ditemukan mati dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Bukit Malut, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, seorang mangsa ditemukan rentung manakala dua lagi dilaporkan meninggal dunia di dalam bilik air di kediaman tersebut.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, PBK II Normazlan Mohamed berkata, rumah tersebut sudah terbakar kira-kira 70 peratus sejurus pihaknya tiba.
“Maklumat awal yang diterima, tiada penghuni di dalam rumah tersebut ketika api sedang marak, namun sebaik sahaja kerja-kerja pemadaman selesai dilakukan, didapati tiga mangsa meninggal dunia termasuk seorang daripadanya rentung,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, identiti kesemua mangsa sedang dikenal pasti dan punca kejadian serta anggaran kerugian juga masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE











