MELAKA – Tiga buah syarikat pengeluar telur ayam di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencatut dalam penjualan telur ayam gred A.
Syarikat yang dituduh, LTK (Melaka) Sdn. Bhd., Chong Yee Nam Sdn. Bhd. dan Chong Wei Chit Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah masing-masing bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, syarikat LTK (Melaka) Sdn. Bhd. didakwa telah mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 17.46 peratus sehingga menyebabkan kenaikan peratusan margin dari 12.29 peratus kepada 29.75 peratus, kira-kira pukul 11.15 pagi di premis LTK Melaka Sdn Bhd, Durian Tunggal, Alor Gajah, 7 Mac lalu.
Sementara itu, Syarikat Chong Yee Nam Sdn. Bhd. didapati mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 12.86 peratus sehingga menyebabkan kenaikan peratusan tokok dari 14.41 peratus kepada 27.27 peratus kira-kira pukul 2.15 petang di premis terbabit di Lendu New Village, Alor Gajah, 13 Disember 2018.
Syarikat Chong Wei Chit Sdn. Bhd. pula didakwa mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 27.59 peratus sehingga mengakibatkan kenaikan peratusan dari 5.06 peratus kepada 32.65 peratus kira-kira pukul 2.30 petang di premis terbabit di Jalan Lendu, Alor Gajah, pada 13 Disember 2018.
Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga syarikat berkenaan didakwa di bawah Peraturan 3(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (mekanisme untuk menentukan keuntungan tinggi tidak munasabah) 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(a) akta yang sama.
Sabit kesalahan, syarikat terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda sehingga RM1 juta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hazril Harun dan Mohammed Heikal Ismail, manakala ketiga-tiga syarikat diwakili Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.
Nathan Rengganathan kemudian memohon satu tarikh baru untuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan.
Norma kemudian menetapkan 16 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi ketiga-tiga kes. – K! ONLINE











