Tiga agenda utama lahir mahasiswa cemerlang - Utusan Malaysia

Tiga agenda utama lahir mahasiswa cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHASISWA atau generasi muda pada hari ini merupakan pelapis kepada kepimpinan negara dan masyarakat pada masa hadapan.

Kehebatan dan kecemerlangan mereka pada hari ini merupakan penentu kepada kecemerlangan serta kemajuan negara.

Senario ini bertepatan dengan nasihat yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali, “Untuk melihat keadaan sesuatu bangsa dan negara, lihatlah kepada senario generasi muda pada hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya generasi muda pada hari ini cemerlang dan berkualiti, maka keadaan yang sama akan berlaku kepada negara dan masyarakat pada masa hadapan dan begitulah sebaliknya.”

Oleh demikian, amat penting kepada semua mahasiswa untuk memastikan mereka bersedia dan mampu untuk menerajui negara dan masyarakat.

Bagi membolehkan mahasiswa atau generasi muda pada hari ini melaksanakan tanggungjawab yang sedemikian dengan cemerlang, mereka perlulah mempunyai kualiti dan kemahiran yang diperlukan untuk tujuan tersebut.

Bagi mencapai matlamat yang sedemikian, adalah amat penting kepada setiap mahasiswa dan generasi muda menyedari matlamat serta agenda mereka pada hari ini agar matlamat utama mereka tidak tersasar.

Tiga agenda utama yang harus dilaksanakan oleh mahasiswa untuk membolehkan mereka meneruskan tugas kepimpinan negara dan masyarakat adalah seperti berikut.

Kecemerlangan akademik

Salah satu agenda utama mahasiswa memasuki universiti atau institusi pengajian tinggi adalah untuk mempamerkan kecemerlangan akademik masing-masing.

Kecemerlangan akademik juga merupakan indikator utama yang digunakan oleh pihak majikan untuk mengklasifikasikan antara yang cemerlang atau sebaliknya.

Bagi membolehkan setiap mahasiswa memperoleh kecemerlangan akademik, mereka perlulah menjadikan agenda ini sebagai keutamaan dalam aktiviti harian.

Masa dan ruang yang ada perlulah digunakan dengan sebaik mungkin untuk mencapai kecemerlangan akademik.

Sebarang aktiviti dan program yang tidak menyumbang kepada kecemerlangan akademik wajar ditinggalkan atau dijadikan sebagai aktiviti santai sahaja.

Kecemerlangan akhlak

Kecemerlangan akademik semata-mata tidak mampu untuk menjadikan mahasiswa sebagai insan cemerlang secara holistik.

Justeru, setiap mahasiswa juga perlu untuk memastikan mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik yang baik tetapi nilai sahsiah dan akhlak terpuji.

Kombinasi kecemerlangan akademik dan akhlak pastinya mampu untuk melonjakkan kualiti mereka sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan.

Antara komponen utama yang harus diberi perhatian oleh setiap mahasiswa untuk mempamerkan akhlak masing-masing menggunakan media sosial dengan bijak.

Media sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan medium terkini untuk tujuan penyebaran dan perkongsian maklumat terutamanya dalam kalangan generasi muda pada hari.

Setiap mahasiswa perlulah memastikan agar semua maklumat yang dimuat turun atau dikongsi melalui media sosial telah ditapis terlebih dahulu agar informasi yang dikongsi dalam tidak mengguris hati mana-mana pihak yang membacanya.

Mahasiswa yang mempunyai akhlak yang baik akan menggunakan media sosial mereka untuk tujuan kebaikan.

Mahasiswa seperti ini tidak akan sekali-kali berkongsi maklumat yang bakal mendatangkan kemarahan ataupun bahaya kepada masyarakat umum.

Justeru, sangat signifikan kepada seluruh warga remaja untuk memastikan mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam bidang lain yang diperlukan oleh majikan.

Kemahiran abad ke-21

Selain kecemerlangan akademik dan akhlak, mahasiswa dan generasi muda juga perlu memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran abad ke-21.

Antara kemahiran abad ke-21 yang sangat diperlukan pada masa kini dan akan datang ialah kemahiran menguasai pelbagai bahasa termasuklah bahasa Inggeris, kerja berkumpulan, menyelesaikan masalah, pemikiran kritis, kepimpinan dan pelbagai kemahiran lain.

Dengan adanya pelbagai kemahiran ini, mahasiswa bukan sahaja mampu untuk menunjukkan kecemerlangan akademik, tetapi apa yang lebih penting mereka mampu untuk mengadaptasi diri dengan situasi semasa.

Rumusan

Bagi memastikan kepimpinan negara dan masyarakat pada masa akan datang terus cemerlang dan gemilang, adalah sangat signifikan kepada mahasiswa serta generasi muda mempersiapkan diri dengan tiga komponen utama dinyatakan di atas.

Tanpa ketiga-tiga komponen utama tersebut amat sukar kepada mahasiswa dan generasi muda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan yang ada pada masa hadapan.

Oleh itu, setiap mahasiswa perlulah berusaha untuk memastikan semasa berada di institusi pengajian tinggi, tiga komponen tersebut menjadi agenda utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini