KUALA LUMPUR 26 April – Tiada istilah kerajaan malah negeri juga boleh dihujahkan tidak wujud sekiranya perlembagaan sesebuah negeri itu tidak sah.

Pengasas Malaysian Lawyers Circle (MLC), Lukman Sheriff Alias menjelaskan, menerusi Perlembagaan negeri, ia merungkai perlantikan Menteri Besar oleh sultan dan sultan pula mempunyai budi bicara melantik Menteri Besar.
“Persekutuan Tanah Melayu mempunyai Perlembagaan Persekutuan manakala setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri. Perlembagaan Persekutuan merungkai perlantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara melantik Perdana Menteri.
“Perlembagaan negeri pula merungkai perlantikan Menteri Besar oleh Sultan yang mempunyai budi bicara melantik Menteri Besar. Kalau Perlembagaan negeri tidak sah, maka tiadalah Menteri Besar, tiadalah Exco dan tiadalah kerajaan malah negeri pun boleh dihujahkan tidak wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc turut menjelaskan secara ringkas mengenai pembentukan Perlembagaan tersebut serta kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.
Sementara itu, tambah Lukman Sheriff, negeri-negeri bersultan telah wujud lagi awal dari Persekutuan Tanah Melayu.
“Menerusi persetujuan negeri-negeri, Persekutuan Tanah Melayu terbentuk. Tanpa negeri tiada Persekutuan,” katanya.- UTUSAN ONLINE.











