“Alhamdulillah sampai juga aku di sini,” bisik Khairuman Abu Yamin tersenyum puas sambil matanya memandang ke arah Gurun Sahara, hamparan lautan pasir halus berwarna emas coklat iaitu gurun panas terbesar di dunia yang bakal diterokanya nanti.
Rasa letih dalam perjalanan hampir 20 jam sejak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Marrakech, Maghribi serta melalui perjalanan darat lebih daripada lima jam ke daerah Merzouza itu hilang setelah melihat kecantikan padang pasir tersebut.
Khairuman, 36, mengikuti pengembaraan anjuran TMPL Backpackers selama 13 hari ke dua buah negara iaitu Maghribi dan Sepanyol pada bulan Mac lalu yang mana syarikat berpengalaman itu telah menyediakan program perjalanan menarik termasuk bermalam di Gurun Sahara.
Setelah persiapan dibuat dengan membawa beg kecil berisi barangan keperluan untuk bermalam di gurun, Khairuman bersama tujuh lagi rakan kembaranya menuju ke arah sekumpulan lelaki yang sedang berehat sambil menjaga unta di pinggir gurun tersebut.
Eksekutif Pembiayaan Pendidikan dari Selangor itu teruja tetapi rasa sedikit gementar kerana dirinya dipilih sebagai penunggang unta pertama daripada kumpulan berkenaan.
“Saya sengaja tidak memakai kasut ketika memijakkan kaki pertama kali di padang pasir ini kerana mahu merasai sendiri kelembutan pasir halusnya, saya mahu mengabadikan kenangan ini untuk dicatat dalam sejarah pengembaraan,” katanya kepada penulis yang turut mengikuti kembara itu baru-baru ini.
Bagi membantu Khairuman dan rakan kembaranya menunggang unta, dua remaja dan beberapa lelaki tempatan mengajar seorang demi seorang menunggang unta dengan teknik yang betul kerana tersilap langkah, penunggang boleh jatuh terpelanting.
Matahari terbenam
Sebelum itu, unta perlu dipilih mengikut saiz badan penunggang, memandangkan dirinya berbadan kecil, maka untanya hanya bersaiz kecil.
Teknik ikatannya dibuat begitu kemas membuatkan unta yang ditunggang Khairuman akhirnya berada di belakang barisan apabila unta-unta diikat satu persatu bagi membolehkan ia berjalan secara teratur sambil dijaga seorang remaja yang berjalan kaki bertindak sebagai pemandu untuk kumpulan berkenaan.
Proses tersebut perlu disegerakan tetapi dilakukan dengan cekap dan cermat bagi memastikan perjalanan pengembara sampai di lokasi strategik dan ke tengah padang pasir dengan selamat untuk melihat matahari terbenam.
Cuaca ketika itu sangat baik dengan sinaran matahari memancar ke gurun tersebut menimbulkan warna keemasan yang cukup unik sehingga ia memukau pemandangan mata.
Aktiviti menunggang unta memakan masa hampir 40 minit dari hentian pertama menuju ke khemah yang disediakan kepada pelancong. Sepanjang perjalanan tersebut, pelancong perlu memegang erat tali unta masing-masing sekali gus terpaksa menggunakan kreativiti masing-masing bagi memegang kamera atau telefon pintar untuk merakam gambar.
Sedang matahari secara berperingkat-peringkat melabuhkan tirainya, si pemandu unta memberi arahan kepada unta yang berada di hadapan dalam kumpulan dengan menepuk di belakang badan binatang tersebut lalu ia merebahkan badannya ke bawah, diikuti dengan unta-unta di belakangnya.
Pemandangan indah itu sukar digambarkan dengan kata-kata, Ia bagaikan melihat lukisan hidup yang bakal menjadi satu catatan sejarah dalam diari percutian setiap pengembara tersebut. Sedikit demi sedikit cuaca kekuningan keemasan itu berubah menjadi gelap dan suasana dingin mula dirasakan.
Hampir 20 minit menghayati pemandangan unik itu, semua pengembara diminta menunggang unta semula untuk menuju ke pusat khemah yang mana jaraknya hampir 50 meter dari pusat perhentian awal tersebut.
Setiba di pusat khemah tersebut, Khairuman bersama rakan kembara yang lain dibawa ke khemah masing-masing yang mana setiap unit diperuntukkan bagi dua orang.
Lebih menarik ia dilengkapi dengan sebuah katil bujang dan sebuah katil kelamin yang selesa, lengkap degan selimut tebal selain disinari lampu samar-samar.
Pusat khemah itu dilengkapi dengan tandas yang bersih selain sebuah khemah lain yang menyediakan makan dan minum seperti dewan makan serta terdapat kerusi santai yang disusun mengelilingi kawasan unggun kayu api di tengah kawasan perkhemahan tersebut.
Makan malam dihidangkan dengan menu makanan Maghribi seperti tajine dan juga roti seperti prata.
Cuaca
Selesai sesi makan, semua pengembara duduk mengelilingi unggun api yang marak menyala bagi memanaskan badan masing-masing selain berhibur dengan persembahan ringkas empat anak muda bermain alat muzik dengan menyanyikan lagu-lagu tempatan.
“Semakin lewat malam, semakin sejuk dirasakan, saya tidak dapat tidur lena, saya berasa seperti sedang bermimpi kerana dapat bermalam di dalam khemah di tengah Gurun Sahara ini,” katanya.
Keterujaan Khairuman turut dikongsi bersama sepasang suami isteri yang merupakan pesara kerajaan dan menganggap ia percutian yang menggembirakan tetapi sedikit mencabar bagi mereka.
Hisham Esa, 57 dari Putrajaya menjelaskan, rancangan pengembaraan di Gurun Sahara merupakan antara impiannya sejak dahulu dan beliau bersyukur kerana dikurnia kesihatan terbaik untuk tiba di destinasi bersejarah ini.
“Percutian bersama isteri saya kali ini adalah untuk meraikan hari persaraan kami. Kami mahu menjadikan pengalaman ini sebagai langkah awal untuk menimba pengalaman bagi merealisasikan rancangan untuk terus melancong ke luar negara pada masa depan,” katanya.
Hisham begitu bersemangat merakam video dan gambar di setiap sudut serta aktiviti sepanjang pengembaraan tersebut.
Namun, cuaca sejuk pada waktu malam yang mencecah negatif 10 darjah Celsius yang sekali sekala tidak menentu membatasi kegiatan pasangan suami isteri itu, namun mereka begitu ceria menghayati pengalaman di Gurun Sahara. Pada waktu siang pula, suhu kawasan itu boleh mencecah 45 darjah Celsius.
Isteri Hisham, Masnon Zahariah Mansor, 58, menyifatkan pengalaman menunggang unta menguji ketahanan dirinya yang sebelum ini telah membuat persediaan mental dan fizikal dengan beriadah untuk meningkatkan kesihatan dalaman.
“Ketika menunggang unta, kita memerlukan kekuatan untuk memegang tempat khusus yang diikat pada badan unta untuk keselamatan penunggang.
“Ini penting kerana unta akan menaikkan badan dan merebahkan badannya. Sehubungan itu, kita perlu pegang kuat-kuat kerana jika salah teknik, badan kita boleh tercampak. Saya teruja untuk menceritakan pengalaman unik ini untuk dikenang bersama anak-anak serta cucu bila balik ke tanah air nanti,” jelasnya.
Semakin lewat malam, cuaca kian sejuk dan suasana makin sunyi sepi sehingga membuatkan penghuni khemah yang keletihan masuk ke khemah masing-masing untuk berehat. Namun, bagi mereka yang sukar melelapkan mata boleh berehat di luar sambil melihat ribuan bintang bertaburan di langit.
Esoknya seawal pukul 6 pagi, ramai yang sudah bangun bersiap untuk pulang ke perhentian awal sebelum menikmati semula pengalaman menunggang unta.
Pengembara TMPL Backpackers hayati keindahan Gurun Sahara sambil menunggang unta dan bermalam di situ.











