PASIR PUTEH 26 April – Imam Tua Masjid Mukim Pulau Lima, di sini, yang bersara sejak 4 April diraikan kariah masjid itu hari ini.
Ab. Ghafar Awang, 84, lebih dikenali sebagai Pak Muda Ghofar bertugas sebagai Imam Tua masjid berkenaan selama 54 tahun sejak 1965 lagi.
Menurut wakil penduduk, Yusmadi Hanafi, 40, Ab. Ghafar adalah imam paling lama dan amat disegani anak mukim selain mempunyai ramai anak didik yang belajar mengaji al-Quran dengannya.
“Jasanya dalam membangunkan syiar Islam di kampung ini amat dibanggakan termasuk usaha mengimarahkan masjid dengan ceramah-ceramah agama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kariah masjid turut menghulurkan hadiah sebagai menghargai jasanya dalam satu majlis khas sebelum solat Jumaat hari ini.
Lebih istimewa mereka bergotong-royong menyediakan tiga kawah gulai bagi jamuan nasi selepas jemaah selesai menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, jawatankuasa masjid turut menghadiahkan set perabot bernilai RM3,000 sebagai tanda kenangan dan penghargaan kepada beliau.
Ab. Ghafar dalam ucapan ringkasnya pula berkata, kerjasama semua pihak memakmurkan masjid menjadi teras perpaduan dan keharmonian kampung itu.
“Saya berterima kasih dengan majlis yang diadakan ini. Saya hanya bersara untuk jawatan dan tugasan namun imam sembahyang masih boleh diteruskan mengikut situasi dan keperluan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










