KUALA LUMPUR 12 April – Kerajaan meluluskan permohonan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk melanjutkan tempoh perjanjian operasi bagi mengoperasi, mengurus dan menyelenggara 39 buah lapangan terbang di bawah kendaliannya sehingga 11 Februari 2069.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjanjian operasi sedia ada yang telah ditandatangani pada 12 Februari 2009 akan dibatalkan serta merta.
“Susulan pembatalan itu, ia akan digantikan dengan empat perjanjian operasi baharu melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang yang ditetapkan di Semenanjung, Lapangan Terbang Sabah dan Lapangan Terbang Sarawak.

“Kesemua perjanjian operasi ini akan dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan serta MAHB berdasarkan prinsip-prinsip asas yang ditetapkan Kabinet. Sejajar dengan itu, perjanjian pajakan baharu bersifat ‘cp-terminus’ dengan perjanjian operasi juga akan turut ditandatangani,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memaklumkan inisiatif itu membolehkan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial yang lebih berdaya maju seterusnya meningkatkan pendapatan negara melalui mekanisme perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan syarikat berkenaan.
Katanya, kerajaan juga akan menerima bayaran cukai yang lebih tinggi, menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat dan meningkatkan peluang pelaburan swasta dalam aktiviti pembangunan lapangan terbang.
“Sejajar dengan keputusan ini, Kementerian Pengangkutan sedang mengambil tindakan untuk memuktamadkan semua perjanjian baharu bersama pihak MAHB serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










