BARCELONA 24 April – Barcelona hanya menurunkan Lionel Messi sebagai pemain gantian tetapi masih mampu mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Alaves awal hari ini sebelum menunggu beberapa jam lagi bagi mengesahkan kejuaraan La Liga buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.
Skuad bimbingan Ernesto Valverde kini hanya menanti keputusan antara Atletico Madrid menentang Valencia malam ini untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara liga. Bagaimanapun jika Atletico menang, Barcelona boleh mengesahkannya sekali lagi hujung minggu ini apabila menentang Levante tanpa perlu bergantung kepada Atletico lagi.
Pada aksi hari ini, bukan sahaja Messi direhatkan sebelum masuk sebagai pemain gantian ketika sudah mendahului 2-0, beberapa pemain tonggak lain juga turut diberi peluang sama seperti Jordi Alba, Clement Lenglet dan Arthur Melo.
Ini membolehkan pemain muda seperti Carles Alena selain Luis Suarez berada dalam senarai sebagai penjaring Barcelona. Tindakan merehatkan pemain utama ini mungkin ada kaitan dengan persediaan menghadapi Liverpool pada aksi pertama separuh akhir Liga Juara Juara Eropah pada 2 Mei ini. – AFP











