KUALA LUMPUR 14 April – Siasatan polis berhubung kes penyokong sebuah parti politik yang bertindak menahan dan memeriksa kereta peronda polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau semalam akan dilakukan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan itu dilakukan susulan satu laporan dibuat berhubung perkara itu.
Ujarnya, siasatan akn dilakukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan adalah kerana dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya.
“Jika disabitkan kesalahan,individu terbabit boleh diseksa dengan penjara selama dua tahun atau dengan denda sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
“Selain itu, siasatan juga akan dibuat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang seseorang dengan salah dan boleh diambil tindakan penjara boleh sampai sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Tambah Abdul Hamid, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.
“Sila laporkan kepada pihak polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE










