Tabung Haji umum 1.25 peratus hibah - Utusan Malaysia

Tabung Haji umum 1.25 peratus hibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta bagi tahun kewangan 2018.

Sebagai rekod, pembayaran hibah itu adalah yang paling rendah dalam sejarah TH.

Pengisytiharan hibah untuk tahun ini boleh dibuat berdasarkan prestasi TH yang berjaya memenuhi dua syarat iaitu mempunyai keuntungan boleh agih dan aset melebihi liabiliti yang memenuhi Akta Tabung Haji 1995 (Akta TH).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, komitmen kerajaan untuk memperbetulkan keadaan menerusi program pemulihan dan rehabilitasi TH berjaya mengimbangi kedudukan kewangan antara aset dan liabiliti sekali gus membolehkan agihan hibah dibuat.

“Selama empat tahun berturut-turut, TH telah mengeluarkan dividen dengan melanggar Akta TH itu sendiri dan kerana itu kita mengalami masalah jurang defisit yang tinggi antara tanggungan dan aset.

“Jika dilihat pada penyelewangan yang berlaku sebelum ini, kerajaan terpaksa menyelamatkan TH dengan komitmen dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion yang diberikan untuk tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Prestasi Lembaga TH & Pengumuman Hibah Tahun 2018 di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Fuziah Salleh; Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Yusof serta Pengarah Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat.

Sementara itu, Mujahid berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendepositnya.

Menurutnya, kerajaan akan memberi peruntukan kepada TH sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion,” katanya.

Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan hibah tahunan TH 2018 bermula Isnin ini. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini