KUALA LUMPUR 30 April – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa syarikat Malaysia dalam sektor pembinaan, pembangunan infrastruktur, bahan binaan, pelancongan dan pelbagai sektor perkhidmatan untuk meninjau peluang di Madinah susulan usaha kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kedudukan bandar itu di peringkat global.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharimahton Mat Saleh berkata, Arab Saudi sedang melalui transformasi yang besar dalam usahanya untuk merealisasikan Visi Saudi 2030.
“Dalam visi itu, Arab Saudi akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada minyak, mempelbagaikan ekonomi, dan membangunkan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.
“Ini bermakna terdapat banyak peluang bagi syarikat Malaysia untuk meninjau selain daripada sektor tradisional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sharimahton berkata, sudah tiba masanya bagi syarikat Malaysia untuk mempertimbangkan Arab Saudi terutamanya Madinah untuk peluang dengan memanfaatkan kepercayaan yang dimiliki oleh kedua-dua negara antara satu sama lain.
“Hubungan baik ini merupakan asas kukuh bagi syarikat Malaysia mewujudkan hubungan perniagaan dengan syarikat dari Arab Saudi,” katanya.
Bagaimanapun, Sharimahton menasihatkan syarikat Malaysia untuk melengkapi diri mereka sepenuhnya dengan pengetahuan mengenai pasaran dan strategi untuk menjalankan perniagaan di Arab Saudi sebelum memasuki pasaran.
“Setiap pasaran berbeza dan memerlukan pelbagai penyesuaian dan penambahbaikan, dan itu sebabnya penting bagi mereka untuk berurusan dengan Matrade,” katanya. – BERNAMA











