KUALA LUMPUR 6 April – Pemain negara, Mohd. Syafiq Kamal menghampiri kejuaraan pertamanya musim ini selepas mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy SRAM PSA One 2019 di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, sebentar tadi.
Syafiq, pilihan kedua hanya mengambil masa 37 minit untuk menundukkan pilihan keempat dari Hong Kong, Tan Ming Hong 11-7, 11-9, 11-3 dalam perlawanan separuh akhir di Arena Nicol David.
Pemain No. 95 dunia itu bagaimanapun bakal berdepan cabaran lebih getir dalam perlawanan akhir esok apabila menentang pilihan pertama Aditya Jagtap dari India.
Aditya, pemain ranking 88 dunia dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan seorang lagi pemain negara, Mohd Addeen Idrakie Bahtiar 11-8, 9-11, 14-12, 8-11, 11-8 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Dalam perseorangan wanita, pemain negara, Chan Yiwen yang turut sebagai pilihan kelapan mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan utama, Lai Wen Li 11-5, 11-6, 11-3.
Satu lagi separuh akhir menyaksikan pertembungan dua pemain remaja negara, yang berkesudahan dengan Ainaa Amani menumpaskan Amirah Rusydina Rosli 11-9, 11-2, 11-6. – BERNAMA











