KUALA LUMPUR 25 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan proses pelaksanaan subsidi bersasar bagi produk petrol RON95 sedang berada di peringkat akhir ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mengenai pelaksanaan subsidi itu akan diumumkan kerajaan selepas semua data penerima selesai dilakukan.

Data penerima ini perlu ditapis, disemak dan diperhalusi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dapat menikmati subsidi tersebut.
“Kerajaan telahpun mengeluarkan belanja yang besar untuk menampung subsidi petrol ketika ini memandangkan 90 peratus daripada 1.2 bilion liter petrol yang digunakan rakyat setiap bulan adalah jenis RON95,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis seminar meningkatkan matlamat pembangunan mampan untuk masyarakat, ekosistem dan bumi. – UTUSAN ONLINE











