STORM cari Mohammad Ashraf berdasarkan petunjuk samar - Utusan Malaysia

STORM cari Mohammad Ashraf berdasarkan petunjuk samar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG – Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menumpukan dua kawasan yang berkemungkinan peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, boleh ditemui selepas hilang sejak 23 Mac lalu.

Komander STORM JBPM, Ismail Abdul Ghani berkata, dua kawasan difokuskan pada operasi yang memasuki hari kesembilan berdasarkan petunjuk-petunjuk samar yang diperolehi mereka selepas melakukan tinjauan serta keterangan penganjur dan saksi awam sebelum ini.

“Kami mendapat petunjuk yang samar-samar yang tidak boleh dijadikan sebagai bukti kukuh. Bagaimanapun, berdasarkan petunjuk-petunjuk ini, kita akan fokuskan kepada check point ke-6 hingga ke kawasan kampung selepas ada bukti kehadirannya di check point tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kawasan kedua yang akan difokuskan ialah di sekitar Gua Kandu kerana ada saksi awam yang merupakan peserta mengatakan mangsa ada berjalan bersamanya di check point 10 sebelum dia meninggalkan mangsa bersendirian,” katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini sebentar tadi.

Tambah Ismail, mangsa berkemungkinan telah melalui laluan yang salah kerana trek perlumbaan membabitkan tiga kategori melibatkan kawasan yang luas atau kemungkinan lain seperti dia diserang haiwan berbisa ketika mahu membuang air.

“Seramai 30 anggota STORM termasuk 10 anggota dari Selangor dan Negeri Sembilan (6) yang tiba semalam serta Multi Skill Team (Musteam) meneruskan operasi pada hari ini,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini