PERTUBUHAN Kebajikan Serantau Muslim (SM) mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban akibat serangan bom di Sri Lanka kelmarin. Semasa kejadian, kira-kira 207 orang terkorban dan seramai 450 yang lain mengalami kecederaan.
Angka korban bagaimanapun dijangka meningkat. Kejadian pengeboman itu berlaku di kawasan berbeza iaitu tiga di gereja Katolik selain melibatkan Hotel Cinnamon Grand, Kingsbury dan Shangri-La.
SM melihat Sri Lanka sebuah negara yang menikmati kepelbagaian agama mengalami kesulitan bila mana kejadian tidak disangka-sangka berlaku di sana.
Dalam insiden serangan bom tersebut, puluhan rakyat asing dari negara Britain, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) turut tercedera dan terkorban.
Insiden menyayat hati itu turut mendapat perhatian pemimpin dunia, antaranya daripada Perdana Menteri Britain, Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Belanda, Perdana Menteri Australia, Perdana Menteri New Zealand, Perdana Menteri Pakistan dan Perdana Menteri India.
Rata-rata mereka mengucapkan salam takziah dan menyifatkan ia sesuatu yang mengejutkan dan bersifat kejam.
Bertitik tolak daripada insiden ini, SM ingin menarik perhatian dunia bahawa trend pihak tertentu sekarang seolah-olah mahu menyasarkan rumah ibadat sebagai tempat serangan.
Ia seperti mahu menjadikan agama sebagai punca keganasan masyarakat sekarang. Fenomena ini amat berbahaya. Realitinya, keganasan bukan terletak pada agama kerana semua agama mengutuk keganasan.
Islam sendiri mengutuk keganasan tanpa mengira jenis agama. Dianggarkan 69 % penduduk Sri Lanka terdiri daripada penganut agama Buddha, 8.5% beragama Islam, 7.9% penganut agama Hindu dan tujuh % penganut agama Kristian.
SM berpendapat insiden di Sri Lanka ini harus dirasai keperitannya sebagaimana insiden di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 52 orang Islam. Pada masa sama, insiden tersebut turut mendapat perhatian kerajaan Malaysia.
Kerajaan Malaysia bersedia untuk menghantar bantuan kepada kerajaan Sri Lanka bagi kerja-kerja pemulihan di kawasan terjejas. Menurut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, beliau telah menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatannya dari Sri Lanka, Tilam Marapana untuk mangsa dan keluarga mangsa yang terjejas serta menyifatkan insiden tersebut sebagai serangan yang tidak masuk akal serta kejam.
Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan itu dan menggesa supaya pelakunya dibawa ke muka pengadilan.SM menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia ini dan menyeru semua masyarakat bergabung untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa di sana.
Justeru, dalam isu ini, SM mencadangkan pemimpin-pemimpin agama seluruh dunia duduk semeja dan membincangkan trend serangan dengan memberi peringatan kepada para pemimpin dunia agar tidak melatah dengan suasana ini.
SM juga menyeru dunia untuk bermuhasabah atas apa yang berlaku. Kenapa keganasan semakin menjadi-jadi di kala ini. Akibatnya, orang awam yang tidak berdosa menjadi korban. Ayuh, kita tunjukkan solidariti kepada rakyat Sri Lanka dan keluarga mangsa yang terkorban.
DR. RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB ialah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim.











