SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang sedang mengesan seorang saksi bagi membantu siasatan berkaitan satu kes tuntutan palsu.
Menurut SPRM, lelaki tersebut dikenali sebagai Jarid@Jerid Jiral, 45, dan alamat terakhirnya di Seksyen 7, Shah Alam.
“Alamat lengkap lelaki itu di Pangsapuri Nilam Sari, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
“Lelaki ini dicari bagi membantu siasatan berkaitan satu kes tuntutan palsu berkenaan kawalan keselamatan di sebuah sekolah di daerah ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah SPRM, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai barang-barang yang telah membuat dakwaan palsu atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Penolong Penguasa Muhammad Jais Sulaiman di talian 03-3371 5080 atau 016-8024 814. – K! ONLINE











