KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding) bermula 15 April ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sistem e-bidding itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ dan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’.
“e-bidding akan bermula dengan siri nombor plat FC* bermakna, nombor itu akan ditender melalui online. Ia juga bukan tertakluk kepada kawasan sekitar negeri berkenaan contohnya di Putrajaya sahaja* ia akan bergerak, dibida oleh rakyat Malaysia di mana-mana menggunakan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas muncul dalam program Nine 11 terbitan Bernama News Channel (saluran Astro 502) di sini hari ini.
Tahun lepas, keputusan tender bagi siri nombor plat FB menunjukkan harga paling mahal ialah RM660,000 bagi siri FB 1, yang mirip kepada singkatan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI). – Bernama











