KOTA BHARU – Tindakan satu sindiket pengedaran dadah menyembunyikan pil kuda bernilai RM1.48 juta di bawah rumah keluarga di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas dekat sini terbongkar dengan penahanan tujuh suspek termasuk seorang wanita kelmarin.
Dalam serbuan bermula pada pukul 3 petang, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 46 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan di sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu.
Siri serbuan tersebut dibuat Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan pertama pasukan khas tersebut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun menaiki sebuah motosikal Yamaha 135LC warna merah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Dangar, Pasir Mas.
“Suspek itu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan semasa proses tangkapan itu. Pemeriksaan di tubuh badannya menemui satu beg sandang warna merah bertulisan CS Holidays yang disilang di bahunya.
“Polis menemui dua bungkusan berbalut pita kekuningan mengandungi pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil WY atau yaba atau pil kuda,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar ialah Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim.
Hasanuddin berkata, berpandukan suspek pertama, serbuan kedua dilakukan pada pukul 4 pegang di sebuah rumah keluarga di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas.
“Hasil pemeriksaan menemui satu guni plastik warna putih lambang kucing serta bertulisan Thailand di bawah rumah. Di dalam guni tersebut terdapat 11 bungkusan berbalut pita kekuningan mengandungi pil WY.
“Polis turut menyita tujuh buah kereta jenis Mercedes, dua buah Nissan Navara, Honda City, BMW dan dua buah Proton; wang tunai RM51,913 serta jam dan barangan kemas bernilai keseluruhan RM478,413,” katanya. – K! ONLINE











