Serangan bongkar krisis PM, Presiden - Utusan Malaysia

Serangan bongkar krisis PM, Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO 23 April – Krisis dalaman antara Pre­si­den Sri Lanka, Maithripala Sirisena dan Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe yang berlarutan sejak tahun lalu mencetuskan persoalan me­ngenai ‘kredibiliti’ kerajaan mengendalikan amaran sera­ngan ketika angka korban keganasan pada Ahad lalu meningkat kepada 321 orang.

Setakat ini, 40 suspek ditahan untuk siasatan dengan 375 mang­sa masih dirawat di hospital.

Channel News Asia melaporkan, Wickremesinghe dikatakan ‘digugur’ daripada taklimat risikan bersama Majlis Keselamatan mengenai serangan yang dipercayai didalangi kumpulan ekstremis tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Kesihatan, Rajith Se­na­ratne memberitahu, Wickre­mesinghe bukan sahaja tidak diundang menghadiri taklimat yang diadakan pada 11 April lalu malah tidak dimaklumkan me­ngenai amaran serangan itu.

“Apabila kami bertanya me­nge­nai laporan risikan, Perdana Menteri tidak tahu dan kami dimaklumkan Majlis Keselamatan mendapat arahan supaya tidak lagi memanggilnya untuk mesyu­arat majlis,” katanya.

Tindakan Sirisena ke luar ne­gara ketika kejadian turut menimbulkan persoalan pelbagai pihak dan pejabat Pre­siden ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu bagaima­napun enggan memberi sebarang komen.

Senaratne menambah, anggota Majlis Keselamatan juga tidak mahu hadir ke mesyuarat tergempar yang diketuai oleh Wickremesinghe ketika Presiden tidak berada di dalam negara.

“Ini adalah pertama kali dalam sejarah negara, anggota Majlis Keselamatan tidak mahu hadir pertemuan dengan Perdana Menteri,” tambahnya.

Pada 26 Oktober lalu, Sirisena memecat Wickremesinghe seca­ra mengejut setelah didakwa berpakat untuk membunuh beliau. Bagaimanapun, Wickreme­singhe dilantik semula selepas dua bulan kemudian.

Dalam pada itu, dengan kematian 321 orang dan lebih 500 lagi cedera, serangan Sri Lanka itu mengatasi jumlah kematian serangan pengeboman mati di Bali dan dua serangan Mumbai sebelum ini.

Menurut laporan tersebut, jumlah mangsa terkorban dalam serangan Bali pada 2002 melibatkan 209 dengan 500 lagi ce­dera manakala dalam dua sera­ngan berasingan di Mumbai yang berlaku pada 2006 dan 2008 masing-masing dilaporkan 209 orang dan 170 orang.

Terdahulu di Parlimen, Timbalan Menteri Pertahanan, Ruwan Wijewardene mendakwa siasatan awal mendapati sera­ngan tersebut menunjukkan ‘balas dendam’ terhadap sera­ngan di dua buah masjid di Christ­church, New Zealand, bulan lalu. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini