KUALA LUMPUR 3 April – Seorang maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 442 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Gombak, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, pelayan restoran yang juga penumpang Perodua Myvi, Liew Han Khai, 29, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, Perodua Myvi tersebut dinaiki empat individu manakala Proton Perdana dipandu oleh seorang anggota polis dan sebuah kereta Peronda Plus jenis Toyota Hilux.
“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku selepas pemandu Perodua Myvi berhenti di belakang kereta peronda yang berada di lorong kecemasan.
“Kereta Proton Perdana yang dipandu seorang lelaki tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Samsor, pemandu Perodua Myvi terselamat kerana telah keluar kereta sebelum rempuh berlaku.
Jelasnya, seorang penumpang kereta tersebut maut manakala seorang lagi cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh, dekat sini untuk rawatan lanjut.
“Pemandu Proton Perdana juga parah dan dikejarkan ke hospital sama,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











