KLUANG – Seorang lagi pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq yang dikhuatiri lemas ketika bermandi bersama lapan rakannya di Sungai Kampung Sari dekat Simpang Renggam ditemui pagi tadi.
Komander Operasi, dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang, Penguasa Kanan Bomba 2, Wan Syariman Wan Saleh berkata, mayat Mohd. Danish Mirzan Muhammad Said, 16, ditemui orang kampung kira-kira pukul 10.29 pagi tadi.
“Mayat mangsa ditemui di jambatan Parit Salleh kira-kita 20.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya
“Operasi ditamatkan pada pukul 12.16 tengah hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai lapan pelajar tahfiz berusia 13 hingga 18 tahun mandi di sungai terbabit sebelum mereka dibawakan arus deras. Dua daripada pelajar terbabit dilaporkan hilang.
Pelajar pertama yang dilaporkan hilang iaitu, Mohd. Ammar Mazeni, 13, berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 5.20 pagi kelmarin. – K! ONLINE.











