KUALA LUMPUR 29 April – Suku pertama tahun ini terus mencabar di sebalik sentimen lemah yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kebimbangan luar, sekali gus memberi kesan kepada prestasi Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, bagaimanapun beliau berpendapat cabaran-cabaran sementara itu dapat mendorong transformasi positif dalam kalangan pemain merentasi ekonomi yang lebih luas.
Katanya, asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh dan teguh dan Bursa Malaysia tetap yakin dengan trajektori pertumbuhan yang berdaya tahan.
“Pengumuman positif baru-baru ini seperti sambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia akan memberi impak positif dan bertindak sebagai pemangkin yang akan merangsang pasaran lebih luas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bursa Malaysia merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM46.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019, merosot 26.5 peratus berbanding RM63.8 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya. -UTUSAN ONLINE











