'Saya menang kereta' - Utusan Malaysia

‘Saya menang kereta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 25 April – Tuah menyebelahi dua orang guru yang tinggal di kawasan taman perumahan sama apabila diumumkan memenangi hadiah utama e-Peraduan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019.

Pada majlis pengumuman itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Wang, Norasyikin Ahmad, 35, membawa pulang kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, manakala jirannya di Ambangan Heights itu, Nasir Mohd. Noor, 40, memenangi Toyota Vios.

Norasyikin berkata, dia mengimpikan untuk memenangi hadiah utama itu selepas berkunjung ke MSAM 2019 bersama suami, Muhamad Shazili Jaafar, 36, dan tiga anak mereka sejak Ahad lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, Ford Ranger tersebut bukan hadiah pertama dimenanginya dan suami, apabila mereka turut pernah membawa pulang sebuah Nissan X-Trail dan pakej menunaikan umrah pada tahun lalu dalam peraduan-peraduan lain.

“Selasa lalu saya sudah menang hadiah harian tetapi masih tidak putus harapan untuk hadiah kereta ini sehinggalah saya terima panggilan semalam meminta hadir bersama keluarga hari ini.

“Walaupun penganjur kata saya hanya menang hamper, tetapi saya rasa macam hadiah lain kerana minta kami datang sekeluarga sebelum nama diumumkan sebagai pemenang utama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam e-Peraduan itu, Norasyikin yang mengajar subjek Sains menggunakan slogan ‘Pelaburan Membawa Keuntungan Sebagai Simpanan Masa Depan Untuk Pendidikan Anak Kesayangan Serta Atasi Inflasi Pasaran.’

Sementara itu, Nasir yang merupakan guru di SK Bukit Selambau tidak menyangka hasrat memiliki Toyota Vios sebagai kenderaan kedua dapat direalisasikan lebih awal dengan memenangi hadiah tersebut

Menurutnya, dia tidak menduga untuk membawa pulang hadiah tersebut kerana menyertai peraduan itu secara suka-suka sambil membawa keluarga dan anak-anak muridnya berkunjung ke MSAM 2019.

“Saya sebenarnya sedang meninjau kereta jenis ini di pusat-pusat pameran dan merancang untuk memilikinya pada Julai ini, namun tidak sangka rezeki datang lebih awal dan gembira dengan hadiah besar ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Nora Shakila Halim, 32, membawa pulang sebuah motosikal Yamaha R25 selepas mendapat tempat ketiga dalam peraduan sama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini