Sarri dihina staf belakang tabir Burnley - Utusan Malaysia

Sarri dihina staf belakang tabir Burnley

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 23 April – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berulang kali dihina dengan panggilan ‘s**t Italian’ oleh staf belakang tabir Burnley sehingga mencetuskan suasana tegang di Stamford Bridge dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Blues sedar jika kemenangan berjaya dicatat dalam perlawanan itu, maka, mereka berpeluang memintas pasukan yang berada di kedudukan ketiga, tetapi malangnya, skuad bimbingan Sarri itu sekadar mencatat keputusan seri 2-2 setelah bergelut untuk menembusi kedegilan benteng pertahanan pasukan pelawat.

Selepas perlawanan berakhir, terjadi insiden buruk di laluan masuk terowong stadium selepas berlaku pertelingkahan antara staf di belakang tabir kedua-dua pasukan, dengan Antonio Rudiger, yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan lutut, gagal mengawal kemarahannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sarri diperintah beredar dari kawasan teknikal oleh pengadil, Kevin Friend dan pegawai keempat, Roger East dengan ESPN melaporkan bahawa pengendali Chelsea itu hilang kewarasannya terhadap staf Sean Dyche, tetapi bukan dengan pengurus Burnley sendiri.

Pembantu pengurus, Ian Woan telah membangkitkan kemarahan staf Chelsea yang berada di bangku simpanan apabila dia memperkatakan sesuatu setiap kali Sarri memasuki kawasan teknikal Burnley, selain, tingkah laku para pemain kelab itu sendiri yang sengaja melambat-lambatkan permainan.

Namun, penghinaan yang dilemparkan terhadap Sarri telah menjadikan suasana lebih tegang, dengan pengurus itu benar-benar kecewa apabila dia enggan menghadiri sidang akhbar selepas perlawanan, dan bangku simpanan Chelsea bertindak berdepan dengan Burnley sebaik wisel penamat dibunyikan.

Rudiger antara yang tampil mempertahankan pengurusnya, sementara jurulatih penjaga gol Chelsea, Massimo Nenci dan jurulatih kecergasan, Paolo Bertelli turut terbabit sama apabila mereka menyatakan sesuatu yang memaksa jurulatih penjaga gol Burnley, Billy Mercer ditahan di pintu masuk terowong.

Dyche menjadikan insiden itu bertambah tegang, sehingga Sarri gagal mengawal kemarahannya dan pembantu pengurus Chelsea, Gianfranco Zola terpaksa mengambil alih tugas menghadiri sidang akhbar.

“Dia (Sarri) sangat kecewa, jadi dia memilih untuk tidak menghadiri sidang media. Dia telah dibuang padang. Saya rasa Sarri tersinggung dengan apa yang berlaku, jadi dia keberatan untuk bercakap dengan anda semua (pemberita).

“Saya fikir dia telah mendengar sesuatu yang tidak sepatutnya dari bangku simpanan Burnley, tetapi jangan tanya saya apakah yang telah terjadi. Saya tidak mahu menyentuh mengenai perkara tersebut, tetapi kami akan meneliti apa yang perlu dilakukan untuk tindakan lanjut.

“Saya rasa akan ada tindakan susulan mengenai kejadian tersebut. Maurizio sangat tidak gembira. Kami faham ini perlawanan bola sepak. Anda mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar kerana adrenalin, tetapi dia sangat sedih,” jelas Zola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini