SHAH ALAM 29 April – Dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan bernilai lebih RM180,000.
Kedua-dua individu merupakan bekas pengurus projek dan pemilik sebuah syarikat masing-masing berusia 40 dan 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor.
Kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 5.20 petang ketika hadir memberikan keterangan.
Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal, bekas pengurus projek terbabit dipercayai telah menerima wang suapan daripada pemilik syarikat berkenaan antara tahun 2015 hingga 2017.
“Wang suapan yang diterima adalah sebagai balasan mengesahkan kerja-kerja yang tidak menepati spesifikasi berhubung sebuah projek pembinaan gudang.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang dekat sini pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – UTUSAN ONLINE











