LANGKAWI – ‘Rusty’ dan ‘Geofrey’ dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Klang Lama, Selangor dipanggil membantu siasatan dan mencari bukti berkaitan kes kebakaran yang mengakibatkan tiga sekeluarga maut di sini pagi semalam.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzullah Mohd. Noor berkata dua ekor anjing bersama lima anggota dari unit tersebut tiba di sini sejak semalam.
“Siasatan bagi mencari bukti diteruskan buat hari kedua hari ini. Kedua-dua ekor anjing itu dari baka English Springer Spaniel.
“Selain dua ekor anjing tersebut, siasatan hari ini melibatkan lima anggota dari Unit K9 JBPM, Jalan Klang Lama serta enam Pegawai Penyiasat Kebakaran (FIO) dari Alor Setar dan Langkawi,” katanya di sini.
Dalam kejadian pagi semalam, mayat mangsa dikenali sebagai Mohd Nahar Suhaimi, 39, ditemukan rentung 100 peratus di ruang tamu di sebuah rumah di Pangkalan Jeti Nelayan Sungai Tepa, dekat Bukit Malut.
Manakala mayat isterinya Nor Suhaila Ahmad, 41, serta anak bongsu mereka Mohd Naufal, enam tahun ditemui di bahagian bilik air rumah tersebut. – Bernama











