KUALA LUMPUR 16 April- Seorang penjawat awam rugi RM487,000 angkara terperdaya dengan ‘Macau Scam’ di Kuching, Sarawak, kelmarin.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu semalam yang dilaporkan mangsa yang berusia lingkungan 20-an.
“Pada 7 April lalu, suspek menelefon mangsa dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan bayaran kad kredit sedangkan mangsa tidak mempunyai kad kredit di bank seperti yang dinyatakan.
“Mangsa kemudiannya disambungkan kononnya ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan dituduh terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah dan penggelapan wang,” lapor Utusan Borneo.
Menurut Mustafa Kamal, mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka akaun bank kononnya untuk penyiasatan juruaudit negara serta menyerahkan butiran akaun tersebut kepada suspek.
Jelas beliau, mangsa membuat semakan di bank pada 14 April lalu didapati wangnya sebanyak kira-kira RM487,000 lesap.
“Mangsa mengetahui tentang penipuan Macau Scam dan pernah mendengarnya melalui pelbagai saluran media namun kerana panik mengikut arahan suspek.
Difahamkan wang tersebut hasil simpanan keluarga mangsa sejak dia kecil lagi,” katanya.-UTUSAN ONLINE











