KUALA LUMPUR 9 April – Sebanyak RM37,000 kutipan dana diperlukan bagi menjayakan program Pelayaran Bestari, Jelajah Bijak: Sayangi Malaysia (Selam ’19) yang bakal berlangsung pada 24 hingga 28 April ini.
Program anjuran mahasiswa tahun akhir Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu bertujuan membantu mahasiswa bakal pendidik mengenalpasti dan membangunkan potensi diri berkongsi dan menyampaikan ilmu menerusi ‘Community Based Learning’.
Menurut pengarah program berkenaan, Muhammad Salleh Shymil Ibrahim, Selam’19 bakal melibatkan 120 pelajar UTM, 50 penyertaan rakan strategik serta 500 pelajar sekolah termasuk masyarakat komuniti setempat.
“Program tuntutan kursus ini menggabungkan 99 mahasiswa yang diberi tanggungjawab terlibat secara langsung untuk menjayakannya dengan usahasama rakan sinergi yang bersesuaian.
“Oleh itu, saya mewakili kesemua mahasiswa terlibat berharap mampu meraih kutipan dana daripada pelbagai pihak bagi menjayakan program bersama ini sekaligus menyumbang kepada pembentukan bakal pendidik kelak,” katanya kepada Utusan Online hari ini.
Program Selam’19 yang bakal berlangsung di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang memerlukan sumbangan bagi pelestarian taman laut, pemasangan tukun dan pembiakan terumbu karang, sumbangan pendidikan serta sumbangan umum.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi tunai dan cek atas nama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di nombor akaun 8881020983100 (Ambank). – UTUSAN ONLINE











