KUALA LUMPUR 5 April – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat 29 Mac meningkat kepada AS$103 bilion (RM420.45 bilion) berbanding AS$102.6 bilion (RM418.81 bilion) pada 15 Mac lalu.
BNM dalam kenyataannya berkata, paras rizab itu memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan sekali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Menurut bank pusat itu, komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing AS$97.1 bilion (RM396.36 bilion), kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$900 juta (RM3.67 bilion)), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion (RM4.49 bilion)), emas (AS$1.6 bilion (RM6.53 bilion)) dan lain-lain aset rizab (AS$2.3 bilion (RM9.39 bilion)).
Aset pula merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM420.21 bilion, Kertas Kerajaan Malaysia (RM2.53 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM863.79 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM7.20 bilion), hartanah (RM4.17 bilion) dan aset-aset lain (RM18.74 bilion).
Modal dan liabiliti pula meliputi modal berbayar sebanyak RM100 juta, rizab (RM131.33 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.02 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM161.50 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM20.27 bilion), deposit lain (RM656.90 juta), Kertas Bank Negara (RM22.67 bilion), peruntukan SDR (RM7.62 bilion), liabiliti-liabiliti lain (RM1.54 bilion). – UTUSAN ONLINE









