Remaja bermalam di Ikea kerana mahu tular dalam media sosial
 - Utusan Malaysia

Remaja bermalam di Ikea kerana mahu tular dalam media sosial


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN 2 April – Hanya kerana mahu tular di media sosial, dua remaja menerima padah apabila ditahan polis Sabtu lalu selepas menceroboh gedung kelengkapan rumah, Ikea di sini kerana terpengaruh dengan cabaran bermalam di gudang tersebut.

Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun itu dilihat memasuki premis berkenaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) antara pukul 10 malam Sabtu hingga 6.45 pagi Ahad lalu.

Bagaimanapun, perbuatan kedua-dua suspek itu disedari pengawal keselamatan yang melihat kelinat mereka di bahagian pameran bilik tidur gedung berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd. Samad berkata, kedua-dua remaja berkenaan didapati bertindak menyembunyikan diri di dalam almari selepas pihak Ikea membuat pengumuman gedung itu bakal ditutup pada pukul 10 malam.

“Mereka kemudiannya keluar dari almari dan berjalan di bahagian pameran bilik tidur sambil merakam pergerakan dan mengambil gambar.

“Suspek juga meniru gaya seperti kejadian yang berlaku di Ikea Damansara baru-baru ini di mana seorang wanita mengambil gambar di rak penyimpanan barang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shafee hasil rakaman CCTV di bahagian pameran bilik tidur mendapati kedua-dua suspek berada di dalam kawasan tersebut sambil memegang telefon dan merakam pergerakan.

“Mereka berada di kawasan tersebut selepas waktu operasi tamat dari pukul 10 malam Sabtu hingga 6.40 pagi, Ahad lalu.

“Suspek juga mengaku berada di dalam kawasan Ikea selepas waktu operasi bertujuan untuk merakam video dan mengambil gambar pergerakan untuk dimuat naik ke dalam media sosial agar tular,” katanya.

Tambah beliau, dua suspek tersebut ditahan reman selama sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan cabaran tersebut kerana jelas melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini