SEREMBAN 24 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa menggesa Exco Kerajaan Negeri, Mohamad Nazaruddin Sabtu digantikan kerana dilihat tidak berupaya menjalankan tugasnya dengan baik.
Menurut beliau, Mohamad Nazaruddin (PKR-Pilah) memegang tanggungjawab penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri.
“Dalam 14 negeri, hanya Negeri Sembilan yang amalkan adat Perpatih yang unik dan mesti diberi keutamaan. Bukan hendak menidakkan beliau, tetapi ini soal tanggungjawab.
“Kalau tak mampu elok rehatkan dia, gantikan dengan orang lain. Apa kurangnya wakil rakyat Seremban Jaya. Kita fikirkan untuk kebaikan bersama demi menjaga kebudayaan dan adat negeri. Kita perlu Exco yang mampu galas tugas dengan baik.
“Saya kasihan, saya tak tahu apa masalah dia. Menteri besar beritahu dia ada turun padang tapi saya tak pasti sebab heboh diperkatakan beliau gagal jalankan tugas,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung titah diraja sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di sini hari ini.
Mohamad Nazaruddin sebelum ini dilaporkan kurang sihat dan mengalami masalah tekanan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
Dalam persidangan DUN pagi tadi, beliau yang hadir hanya mendiamkan diri dan tidak menjawab soalan berkaitan portfolionya sehingga dipersoalkan oleh wakil pembangkang.
Menurut Mohd. Isam, beliau memohon maaf kepada Mohamad Nazaruddin kerana membangkitkan isu tersebut, namun menjelaskan ia dibuat demi kepentingan rakyat di negeri ini. – UTUSAN ONLINE










