RCI: Akaun bank milik warga tempatan - Utusan Malaysia

RCI: Akaun bank milik warga tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 April – Analisa awal terhadap nombor akaun bank tercatat dalam buku nota yang ditemukan di Kem Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Wang Kelian, Perlis merupakan milik rakyat tempatan.

Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintenden Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad berkata, pihaknya turut menganalisa butiran nama dan nombor telefon di dalam buku berkenaan.

Walau bagaimanapun, para wartawan dan orang ramai yang berada di galeri awam diminta beredar sebaik saksi ke-19 itu ingin mendedahkan nama pemilik akaun itu kerana ia bersifat sulit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Wan Ahmad Hamirudeen berkata, pihaknya telah menemukan lima lagi kem penempatan PATI di Bukit Wang Burma pada 23 Januari 2015.

Katanya, beliau bersama Jabatan Siasatan Jenayah serta Pasukan Gerakan Am (PGA) telah pergi meninjau kawasan sempadan negara bagi menjejaki kem penempatan yang lain.

“Terdapat kem yang baharu ditinggalkan, terdapat juga ditinggalkan sudah lama.

“Selain itu, kawasan itu juga kelihatan berselerak termasuk beberapa dokumen kecil selain sejumlah kubur berdasarkan penemuan tandu untuk mengangkat mayat,” katanya.

Beliau kemudian menyerah laporan berkenaan penemuan itu kepada pihak atasan Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Prodising di hadapan tujuh ahli RCI yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan disambung pada 7 Mei ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini