KUALA LUMPUR 2 April – Sesi perbahasan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) mencetuskan ‘perang’ antara penyokong kerajaan itu dengan ramai ahli pembangkang, apabila tidak memberikan peluang untuk mencelah sekali pun sentiasa mempersoalkan kredibiliti Barisan Nasional (BN).
Rayer yang sebelum itu berjanji mahu memberi ruang kepada pembangkang mencelah perbahasannya namun tidak berbuat demikian.
Keadaan itu sekali gus membuatkan ramai ahli pembangkang marah terutama Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang sebelum itu disindir tanpa henti oleh Rayer.
Keadaan menjadi tidak terkawal sehingga beberapa ahli pembangkang akhirnya mempersoalkan Rayer dengan label pondan dan penipu.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bagaimanapun dapat mengawal keadaan, namun tiada sesiapa diminta menarik balik perkataan-perkataan yang disebut.
Namun ketika sesi perbahasan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat), Rayer diberikan peluang untuk mencelah namun beliau dan ahli Parlimen Pas itu saling berbalas hujahan dengan menyebut perkataan bodoh.
Sidang Dewan Rakyat ketika ini sedang membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2018) 2019.
RUU itu dijangka diluluskan petang ini bagi membolehkan kerajaan mendapat tambahan kira-kira RM19.6 bilion untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.-UTUSAN ONLINE











