KLANG 3 April – Persekitaran busuk, dipenuhi darah dan ratusan ayam mati direndam di dalam bekas takungan air kotor.

Begitulah keadaan di pusat penyembelihan ayam di Lorong Haji Sirat, Batu 4, Jalan Kapar di sini yang diserbu pihak berkuasa awal pagi tadi.
Bukan itu sahaja, sekeliling premis tersebut ditutup rapi dengan menggunakan zink selain bahagian hadapan ditutup dengan pagar besi berkunci selain persekitaran semak dipenuhi lalang.
Serbuan bersepadu kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan kerjasama antara Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Imigresen.
Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkaitan pengoperasian pusat penyembelihan yang diragui status sembelihannya.
Menurutnya, pemeriksaan pihaknya mendapati premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati pusat penyembelihan ini dioperasikan oleh pekerja warga asing dan tidak mempunyai lesen perniagaan termasuk tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Soal siasat yang dilakukan juga mendapati cara penyembelihan yang dilakukan meragukan dan tidak mematuhi hukum syarak. Kita telah mengeluarkan arahan serta merta agar pemilik premis melupuskan ayam-ayam yang diragui status sembelihannya,” katanya.
Tambah Haris, semua pihak penguat kuasa yang terbabit dalam operasi juga mengambil tindakan serta merta.
“Penguat kuasa menyita premis mengikut Undang-undang Kecil UKK 3 (1) Perlesenan Establishment Makanan 2007 MPK kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Manakala, Jabatan Imigresen pula menahan enam pekerja asing tanpa izin mengikut Seksyen 51 (5) Akta Imigresen selama 14 hari di atas kesalahan Seksyen 6(1)(C) dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen,” ujarnya.
Tambahnya, orang awam mendapati premis yang diragukan melakukan penyembelihan secara halal, disarankan melaporkan kepada JAIS di talian 03-55143760/3486. – UTUSAN ONLINE











