PASIR MAS – Pusat pemulihan khas untuk penagih dadah sintetik seperti pil kuda dan syabu perlu diwujudkan sebagai salah satu usaha mengatasi masalah mental dalam kalangan mereka.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, buat masa ini Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Tampoi, Johor dijadikan pusat rawatan penagih dadah yang menghidap penyakit mental.
Menurutnya, pemlihan tersebut dibuat ekoran kedudukan CCRC Tampoi yang berdekatan dengan Hospital Permai yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikiatri.
“Melihat kepada trend sekarang kita perlu menimbang kalau perlu ada pusat seperti di Johor itu di kawasan-kawasan lain disebabkan jangkaan ramai akan mengalami sakit mental akibat pengambilan dadah sintetik.
“Apa yang kita tahu kesan ketagihan dadah sintetik ini berbeza dengan penagih yang mengambil dadah jenis heroin dan dadah tradisional yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Ketua Pengarah AADK Malaysia Bersama Pemimpin Komuniti dekat Tendong, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Mohammad dan Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad serta pemimpin komuniti.
Zulkifli memberitahu, berdasarkan statistik yang dicatatkan pada 2014 hingga 2018, sebanyak 90.1 peratus pengambilan dadah di Kelantan adalah melibatkan dadah jenis pil kuda dan syabu iaitu dadah sintetik Methamphetamine.
Katanya, jangkaan kemasukan dadah dari negara pengeluar dadah akan meningkat sekali ganda pada masa hadapan dan menjadi satu ancaman kepada negara.
“Ini adalah ancaman kepada negara di mana kemungkinan dadah akan menjadi lebih murah selain mudah diperolehi.
“Namun begitu sekiranya kita berjaya memberi didikan dan dorongan mengenai bahaya pengambilan dadah kepada generasi hari ini sudah pasti masalah itu dapat diatasi,” ujarnya. – K! ONLINE











